bisnis

hate the betrayalman angry at the betrayal

badai dengan sejuta rasa pahit. Derai diatas derita yang bergelumit. Tangan menengadah seakan tak satupun dosa jatuh genit. Dan kelicikan sang iblis kembali menggerogot dengan sengit.

Tuhan menciptakan makhluk luar biasa. Dengan segala rasa yang tak kuasa. Tetapi tanpa sadar dia berkata. Bahwa dia adalah Tuhan didunia. Apa hak kamu untuk mengaku dengan rasa.

Hidup sempit seperti raga tak bertulang belakang. Dengan sengajanya kau menindas kedalam hutan belaka. Dengan sejuta ranting dalam jelaga. Serta duri dan jeruji yang menusuk raga.

Srigala kembali hadir. Berbulu domba dengan sidang tanpa dosa. Tidur saat keperluan menimpa. Tanpa sadar menerima gaji buta. Dan kau tetap kau sang Iblis. Penyibak rasa haus dahaga. Dengan sejuta tangan kau renggut hak-hak rakyat negara. Dan tanpa kau sadari kau memang Manusia pemakan Otak Manusia. Manusia tanpa kelamin yang memang harus diinjak diatas meja hijau.

Dan takkan ada lagi sidang dalam mimpi.
Takkan ada lagi rapat dengan ditemani tontonan nafsu tak sudi.
Dan takkan ada lagi penggerogot jiwa dan raga diri.

BIsNIS

Rabu, 09 November 2011

rupa bangsa


rupa bangsa
Malam itu agak lebih hangat daripada malam-malam sebelumnya. Berbahang seperti sauna. Hujan yang turun setiap petang sejak seminggu yang lalu tidak hadir hari ini. Entah apa sialnya, alat pendingin hawa di pejabat dia turut meragam hari ini menyebabkan dia memutuskan untuk pulang sahaja ke rumah dengan hati terbakar.
Suasana di stesen keretapi Setia Cheng Jaya pada waktu sebegini memang suram. Penumpang-penumpang pengangkutan awam di situ sudah hampir tidak ada. Mereka semua sama ada sudah pun pulang dari pejabat beberapa jam lalu atau sesuatu yang mustahil telah berlaku apabila jadual keretapi pada hari itu menjadi begitu lancar sehingga tiada langsung penumpang tersangkut di stesen akibat perjalanan yang tergendala.
Dia melihat jam di telefon bimbit Cokianya. Sudah jam 10.00 malam. Jam di stesen memang tidak akan dia lihat. Sentiasa rosak. Kalau jam itu tidak rosak pun dia masih tidak akan percaya kepada waktu perjalanan keretapi seterusnya yang terpapar pada papan elektronik itu. Waktu perjalanan yang dipaparkan di situ sebenarnya hanya untuk dimungkiri. Dan hanya untuk menyakitkan hati pengguna pengangkutan awam yang tegar sepertinya.
Kurang dua minit jam sebelas, keretapi yang ditunggu-tunggu pun muncul dari kejauhan. Cahaya lampunya yang menyuluh gelap jadi terang dari jauh tampak seperti harapan yang bersinar dalam suram kegelapan putus asa. Dia bangun dari tempat duduk dan tersenyum tawar. Biar betapa sakit hati pun dia menunggu akan sembuh juga apabila barang yang ditunggu telah kunjung tiba.
Dia masuk ke perut gerabak. Segera mencari kerusi untuk diduduki.
Dua orang gadis Tionghua di tepinya memilih untuk berdiri walaupun masih terlalu banyak kerusi kosong yang ada di situ. Mereka lebih selesa berbual-bual sambil berdiri agaknya. Barangkali dengan berdiri, perkataan-perkataan yang dituturkan akan lebih senang keluar. Lebih lancar dan lebih kuat supaya semua orang di dalam keretapi itu boleh dengar perbualan mereka.
“I met him before at Sunway Pyramid with his girlfriend..”
“Oh, yeah! He is so neat at our college I thought he is a nerd!”
Di Pulau Pinang, kerajaan negerinya telah meluluskan permohonan salah satu Majlis Perbandaran untuk memasang papan-papan tanda nama jalan yang ditulis dalam tiga bahasa; Melayu, Cina dan India. Ini adalah untuk meraikan kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia yang bersatu-padu dan hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Dia fikir, mujurlah hanya Melayu, Cina dan India. Kalau Bajau Laut, Kadazan-Dusun, Jawa, Mendeliar, Sikh, Portugis dan Bugis pun mahu dimasukkan sama, pasti kerajaan negeri Pulau Pinang memerlukan papan tanda yang besar dan dakwat yang banyak untuk memuatkan nama jalan yang ditulis dalam semua bahasa tersebut.
“Stesen Bukit Badak Wong Ramu!”
“Bukit Badak Wong Ramu Station!”
Suara dari corong pembesar suara keretapi itu mengejutkannya dari lamunan. Selang dua stesen lagi dia akan sampai ke stesen Teluk Gadung Ong Samy sebelum pulang ke rumah. Matanya sudah kuyu kerana terlalu mengantuk. Gadis Tionghua di tepi kerusinya yang dua orang begitu kuat berbual tadi sudah tiada di situ. Dia tidak sedar di stesen mana mereka turun. Mungkin di stesen Padang Jawa Hokkien Benggali. (Semenjak teraju pemerintahan negara bertukar, kerajaan baru, atas semangat muhibbah yang terlampau tinggi telah bertindak menukar nama-nama jalan, bandar, sekolah, universiti, felda, estet, tandas termasuklah nama stesen keretapi kepada nama-nama yang lebih menunjukkan sifat keMalaysiaan yang terdiri daripada pelbagai kaum). Tetapi dia perasan salah seorang daripada mereka telah tercicir surat khabar yang dikepit gadis itu tadi di celah-celah ketiaknya. Atau mungkin juga surat khabar itu sengaja dibuang di situ sebagai sampah kerana sudah tidak mahu dibaca lagi.
Dia mengambil surat khabar bersaiz kompak itu dengan niat mahu membacanya buat menghilangkan rasa mengantuk. Dia tidak mahu tertidur dan terlepas stesen yang ingin ditujuinya.
Selangor MB goes beyond race
Begitu dia membaca tajuk muka depan akhbar mini itu. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menurut berita itu telah memecah tradisi apabila buat pertama kalinya dalam sejarah negeri Selangor, seorang yang bukan Melayu dilantik sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Tindakan itu mendapat kecaman hebat dari Pemuda UMNO yang bertindak berhimpun secara aman dan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor meminta agar kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dikaji semula. Mereka membawa kain rentang “Hidup Melayu”.
Rasa mengantuknya berjaya dihilangkan.
Di pejabat tempat dia bekerja, hampir semua pengurusnya adalah warga asing. Dari Perancis, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat. Tempat bekerjanya telah lebih dahulu melangkaui bangsa daripada Menteri Besar Selangor. Pekerja-pekerja am pula hampir semuanya datang dari negara Indonesia, Bangladesh, India dan Myanmar. Juga melangkaui bangsa. Jauh merentasi Selat Melaka sehingga ke Teluk Bengal.
Sebentar lagi, sampailah dia ke stesennya.
Sewaktu kita begitu ghairah mengangkat bahasa-bahasa ibunda pelbagai kaum di papan-papan tanda setaraf dengan bahasa kebangsaan, kita lupa anak-anak muda kita sudah hampir tidak peduli pun dengan semua bahasa ini. Mereka lebih peduli dengan bahasa Inggeris, bahasa yang bangsa penuturnya hampir tiada langsung di Malaysia. Maka, di manakah keutamaan kita?
Sewaktu kita giat berpolemik tentang pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan tertentu, kita lupa bahawa orang Eropah, Afrika, Indo-China, Indonesia dan lain-lain bangsa seluruh dunia telah pun datang ke mari menetap, bekerjaya, berniaga, beranak-pinak dan mengutip hasil mahsul negara kita untuk disalurkan pulang ke negara mereka. Mereka telah menjadi begitu ramai, bersatu dalam kelompok mereka sambil kita memilih bercakaran sesama kita. Di manakah keutamaan kita?
“Stesen Teluk Gadung”
Di sebalik cuba merungkai tali-tali masalah yang telah menjerut leher sejak sekian lama, kita lebih cenderung menyimpul ikatan-ikatan baru masalah agar kita lebih sukar bernafas, agar kita boleh terus sahaja mati lemas. Cabaran-cabaran baru kita cari dan teroka, tanpa berniat mahu mengatasi cabaran lama. Kita memang cukup dramatik, suka mengambil risiko. Malah adventurous juga.
Dia telah sampai ke destinasi. Mujur dia tidak tertidur sehingga mungkin akan terlepas stesen. Dia berharap ahli-ahli politik di luar sana juga tidak tertidur sehingga mungkin akan terlepas negara yang tercinta ini ke tangan orang lain. Malam di Teluk Gadung fikirnya tidaklah lebih gelap atau kurang gelap berbanding di Shah Alam atau di George Town. Malam di mana-mana sama sahaja. Dan sebelum cahaya fajar muncul di ufuk timur, gelap malam sebenarnya akan menjadi lebih pekat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

BISNIS